Falsafah Hidup
March 7th, 2010Hasil : Shen Yee Aun
Hidup kita ibaratkan roda. Ada kalanya kita di atas dan ada kalanya kita berada di bawah. Namun roda tidak akan berhenti berpusing seperti masa yang berlalu setiap saat tanpa berhenti. Namun roda tetap perlu berehat seperti manusia. Pada ketika itulah roda tidak berpusing sehingga enjin kereta dihidupkan. Manusia juga perlu berehat. Oleh sebab itu dalam 24 jam sehari manusia berehat mengikut kadar jam masing - masing. Ada yang berehat selama 12 jam , ada yang 10 ada yang 8 ada yang 6 ada pula yang 4 dan ada pula berehat mengikut keperluan masing - masing. Apabila kita terjaga dan menggerakkan kehidupkan kita maka pada ketika itulah enjin kereta sudah dihidupkan dan roda ini perlu berpusing.
Begitu juga dengan falsafah dan nasib seseorang individu. Maka tiada seseorang akan berada di atas selama - lamananya dan tiada akan berada di bawah selama - lamanya seperti ombak yang ada pasang dan surutnya. Begitu juga dengan kejadian alam yang ada siang dan malamnya. Tiada ada manusia dalam dunia ini tidak kira mereka adalah Raja , Perdana Menteri , Jutawan , atau sesiapa sahaja mampu untuk menghalang fenomena alam ini. Begitu juga dengan lumrah kehidupan manusia bagaikan sebuah roda. Oleh itu , ada kalanya kita gembira ada kalanya kita sedih. Ada kalanya kita berjaya ada kalanya kita gagal.
Roda itu tidak mampu akan menjadi roda tanpa adanya getah. Permintaan terhadap getah juga tidak akan tinggi tanpa roda. Maka dunia ini sebenarnya saling bergantungan dan memerlukan. Tiada seseorang mampu berjaya dan hidup dengan sendiri.
Roda itu juga perlu dipam angin apabila sampai masanya. Begitu juga dengan manusia yang perlu makan , minum dan berehat apabila sampai masanya.
Ada kalanya roda itu boleh berlubang. Ada kalanya lubang itu boleh kita tampal. Namun ada kalanya lubang itu terlalu parah untuk ditampal. Begitulah juga dengan falsafah dan erti kehidupan manusia. Ada kalanya kemalangan berlaku. Ada kalanya kegagalan berlaku. Ada kalanya manusia sakit dan berpenyakit. Ada yang boleh diubati. Ada yang hanya boleh dikawal. Namun ada juga yang sudah terlambat untuk kita ubati. Sebab dunia ini penuh dengan cabaran dan rintangan di depan mata. Sukar diduga bila ada paku yang tanpa disedari melekat pada roda. Ada kalanya pula lambat kita sedari . Pada ketika itulah mungkin sudah terlambat untuk kita menampal kembali roda tersebut.
Roda itu juga perlu berpasangan. Ada yang berdua , ada yang berempat , ada yang berenam dan sebagainya. Begitu juga dengan tangan , kaki . mata dan telinga manusia yang berpasangan. Semakin banyak roda yang berpasangan semakin cepat pergerakan roda. Semakin lancar fungsi tersebut mampu digerakkan. Begitu jugalah dengan falsafah berpasukan hidup tidak kira dalam dunia sukan , perniagaan atau apa jua benda sekali pun di dunia. Walaupun tidak pernah menafikan sebuah roda sahaja juga mampu untuk bergerak namun potensinya terhad jika tidak berpasangan.
Setiap hari ada sahaja manusia yang lahir di dunia ini , ada sahaja manusia manusia yang sakit dan berdepan dengan masalah dan ada juga yang meninggal dunia. Begitu juga setiap hari ada sahaja roda baharu roda dicipta dan dihasilkan di seluruh dunia , ada roda yang berlubang , ada juga roda yang sudah kehausan dan tidak boleh digunakan.
Falsafah Melayu juga percaya harimau mati meninggalkan belang , manusia mati meninggalkan nama. Anda pilih hendak menjadi roda yang bagaimana ? Roda yang berfungsi dan berguna atau roda sebagai sekadar hiasan sahaja? Anda hendak menjadi roda kepada kereta kancil , toyota , honda , mercedez atau ferari semuanya bergantung pada pilihan anda. Apa yang hendak anda diingati selepas peninggalan anda ?
Hidup = Roda


